DEK kerana netizen terpegun melihat kehidupan dan gaya hidup mewah yang dimiliki wanita ini, nama Jamie Chua kini menjadi tumpuan bukan sahaja di Malaysia malah luar negara.
Gaya hidupnya yang sangat mewah dan memiliki wajah menawan serta bentuk badan cukup diidamkan oleh para gadis menjadikan ramai tertanya-tanya siapakah gerangan wanita ini.
Jamie Chua merupakan seorang wanita yang digelar “Rich Kids of Singapore” dan seorang ibu kepada dua orang anak bernama Calista dan Cleveland hasil perkahwinannya bersama seorang hartawan Indonesia.

Selain itu, wanita berusia 42 tahun ini juga digelar dengan panggilan “Queen of Instagram” dek kerana gambar-gambar yang dimuat naik olehnya di laman berkenaan boleh disifatkan sebagai cukup menarik dan sempurna.
Lebih menarik, Jamie turut mengupah dua orang pembantu yang diberi tugas untuk mengikut ke mana sahaja wanita itu pergi untuk merakam gambarnya sehingga dia berpuas hati.
Dalam pada itu, Jamie juga merupakan salah seorang individu yang memiliki minat dalam mengumpul beg tangan berjenama paling mahal dan berprestij di dunia, Hermes Birkin.

Mula mengumpul sejak 2003, dia kini dikatakan individu yang memiliki koleksi beg tangan Hermes Birkin terbanyak di dunia dengan jumlahnya mencecah hingga 200 buah dan semuanya tersusun rapi dalam rak kaca. Wow!
Pada masa sama, Jamie juga dikatakan turut mempunyai ruangan simpanan barangan koleksi peribadi bersaiz 700 kaki persegi di dalam rumahnya dan memiliki lebih daripada 300 pasang kasut berjenama.
Dalam perkembangan lain, Jamie turut melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan merupakan pengasas produk kecantikan berjenama Luminous1.
Bagaimana Jamie Chua Boleh Menjadi Kaya Dalam Sekelip Mata?
Memetik beberapa sumber, difahamkan Jamie terkenal dan kaya kerana dia merupakan bekas isteri kepada hartawan Indonesia iaitu Nurdian Cuaca.
Jamie mula mengenali Nurdian sejak bertugas sebagai pramugari bagi syarikat penerbangan, Singapore Airlines ketika berumur 20 tahun dan kemudiannya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan jejaka tersebut.

Sumber berkata, mahligai mereka bagaimanapun hanya bertahan selama 15 tahun dan kemudiannya disahkan bercerai pada Februari 2010 atas alasan tingkah laku yang munasabah.
Menurut sumber lagi, ketika proses perceraian Jamie mendesak bekas suaminya beri nafkah sebanyak S$332,000 sebulan sebagai pendapatan untuk menyara keperluan diri serta dua orang anak yang berada di bawah jagaannya.

Susulan itu, proses perceraian antara Jamie dan bekas suami dapat diselesaikan di luar mahkamah pada tahun 2011 selepas wanita itu berjaya membekukan kesemua aset dan harta milik Nurdian.
Bukan itu sahaja, malah sumber memberitahu Jamie turut dikatakan menerima sejumlah wang yang tidak didedahkan nilainya selain hak pemilikan hartanah.

Sejak daripada itu, Jamie dikatakan bebas membelanjakan wang tersebut untuk menjaga kebajikan anak-anak selain menggunakannya demi memiliki barangan berjenama serta menjaga kecantikan diri.
Meskipun kehidupannya sangat kaya raya namun Jamie enggan terlalu dedah anak-anaknya dengan kekayaan sebaliknya mahu mereka lebih hargai kesusahan hidup agar lebih berdikari pada masa akan datang. – MYNEWSHUB.CC

