DATUK Seri Najib Razak yang dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini, hanyalah untuk melengkapkan siasatan, bukan untuk ditangkap.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata bekas perdana menteri itu hanya hadir memberikan keterangan yang membabitkan siasatan skandal SRC International Sdn. Bhd.
“Bukan nak tangkap, kehadiran beliau (Najib) hari ini untuk memberi keterangan berhubung SRC International.
“Ini susulan SPRM menerima maklumat baharu,” kata Mohd. Shukri dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, pada Selasa.
Mohd Shukri menambah, buat masa ini beliau tidak dapat menentukan berapa lama masa diambil untuk proses memberi keterangan.
“Saya tak dapat beritahu, semuanya bergantung kepada jawapannya, kalau kami puas hati, kami lepaskannya.
“Kalau kami perlukannya lagi, kami akan panggil semula,” katanya lagi.
Ditanya adakah saksi lain yang akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes ini, Mohd Shukri berkata hanya Najib seorang pada hari ini.
“Hari ni Najib dulu, tapi ada lagi satu atau dua orang saksi penting yang kita akan panggil,” katanya.
Difahamkan hanya anggota Parlimen Pekan itu yang masuk memberi keterangan kepada pegawai SPRM di bilik soal siasat di bangunan itu.
Mohd. Shukri turut menegaskan kes kematian bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais tidak mempunyai kaitan dengan siasatan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MYNEWSHUB.CC

