JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada syarikat kontraktor tempatan dalam melaksanakan projek pembangunan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata ia bertujuan untuk membantu penjanaan pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus mengawal pengaliran wang di dalam negeri.
“Kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi tender lebih terbuka kepada mereka dan ia akan dikaji dan dibuat secara telus dan akan mengutamakan kontraktor tempatan terutama projek di bawah bajet kerajaan negeri,” katanya,
Beliau berkata demikian pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran dan berbuka puasa sempena ulang tahun ke-50 Johor Corporation (JCorp) di Masjid Sultan Iskandar, di sini, malam ini.
Beliau mengulas mengenai persediaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Johor dalam menerajui negeri ini dan meneliti dasar-dasar kerajaan sebelum ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad.
Mazlan berkata penghapusan sistem orang tengah bagi mendapatkan sesuatu projek khususnya projek pembangunan kerajaan juga akan dilaksanakan dan peluang hanya akan diberi kepada syarikat kontraktor yang berkelayakan.
“Bagi projek berskala besar, kita akan buat secara terbuka dan kita akan memastikan tiada projek terbengkalai dan projek sakit di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly ketika diminta mengulas mengenai Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), berkata beliau komited dalam memansuhkan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) bagi permohonan perumahan mampu milik di negeri itu dalam masa terdekat.
“Kita lihat kuota ini tidak telus dan terdedah kepada rasuah. Kita akan pastikan setiap unit rumah yang dibina itu sampai kepada golongan sasaran.
“Bahkan dalam Dasar Perumahan Rakyat Johor sendiri tidak termaktub KMK sebagai salah satu dasar dalam kerajaan negeri, maknanya perkara ini boleh diselesaikan di peringkat mesyuarat exco untuk mendapatkan persetujuan pemansuhan,” katanya.
Terdahulu, seramai lebih 200 orang termasuk kakitangan JCorp dan golongan asnaf meraikan majlis kesyukuran dan berbuka puasa tersebut. – BERNAMA

