RATU Pop Etnik Malaysia iaitu Noraniza Idris mengakui sudah terbiasa dengan pemerintahan sedia ada yang tidak pernah menyusahkan mahupun membebankan dirinya serta keluarga.
Mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Ani, pemilik nama sebenar Nor Aniza Idris itu berkata dirinya dan keluarga yang mahu melihat keamanan serta kemakmuran sentiasa terbela.
Pada masa sama, penyanyi terbabit turut memberitahu beliau sememangnya menyayangi pemerintahan negara sekarang.
“Walaupun kita berbeza fahaman politik sekalipun, semua itu tidak pernah menggoyahkan pendirian saya. Saya akan setia dan selesa di belakang, menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat serta anak seni,” katanya dipetik BH Online.
Malah, beliau juga percaya bahawa elemen seni sendiri mampu menjadi irama penyatuan masyarakat, khususnya.
“Jika politik tidak mampu menyatukan (penduduk) negara kita yang berbilang bangsa, saya optimis dan percaya, irama seni mampu menjadi budaya penyatuan masyarakat kita. Saya akan terus memperjuangkannya.
“Saya sedar, muzik mampu menjadi modal insan terbaik untuk kita, menerusi mesej yang diterapkan di dalamnya.
“Bersama irama yang diperjuangkan ini, menjadi tanggungjawab kecil saya menyatukan masyarakat Malaysia, begitu juga transformasi budaya. Insya-Allah,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri itu sempat berkongsi pengalaman melaksanakan kewajiban pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), hari ini.
Menurut Kak Ani, beliau membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri, Kuala Lumpur.
“Saya hadir ke sini seawal jam 10 pagi dengan ditemani anak, suami, sanak-saudara dan kaum kerabat. Alhamdulillah, proses pengundian berjalan lancar.
“Tak sampai setengah jam, saya mampu melunaskan tanggung jawab berkenaan,” kongsinya. – MYNEWSHUB.CC/AM