KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) memberi jaminan terhadap kestabilan bekalan elektrik sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) esok.
Menterinya Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili menerusi kenyataan hari ini berkata bagi memastikan keadaan itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan sebanyak 189 set penjana mudah alih sebagai pelan sokongan untuk ditempatkan di semua pusat penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi terlibat.
“TNB telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tiada insiden gangguan bekalan elektrik yang boleh menjejaskan kelancaran perjalanan proses pilihan raya tersebut, mulai 28 April lepas hingga esok (9 Mei).”
“Kakitangan teknikal TNB juga bersiap siaga dalam memastikan bekalan elektrik berterusan semasa proses PRU14, yang mana Bilik Gerakan di setiap negeri turut diaktifkan,” katanya.
Pengguna dinasihatkan untuk menghubungi pusat sehenti TNB menerusi Facebook, TNB CareLine atau menghubungi 15454 bagi sebarang aduan dan maklum balas. – BERNAMA