SERU… Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli parti menganjurkan solat hajat untuk menangkis fitnah jahat pembangkang menjelang saat-saat akhir Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), ahli-ahli yang menganuti agama lain juga diminta untuk melakukan perkara yang sama dengan mengikut kepercayaan masing-masing.
“BN Selangor sebelum ini pernah kalah dua kali dalam PRU yang terdahulu kerana fitnah jahat daripada parti pembangkang namun, saya percaya kali ini perkara sama tidak akan berulang kerana kita berwaspada lebih awal.
“Sekarang yang berlaku ialah tsunami fitnah dan bukan tsunami Melayu seperti dicanang mereka. Fitnah sekarang berleluasa sebab itu kita kena bersedia,” katanya ketika berucap dalam majlis bersama rakyat Sepang hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga mengingatkan agar calon BN yang menang dalam PRU ke-14 nanti agar tidak lupa diri dan terus beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

