TINDAKAN pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan yang tampil dengan produk makanan tambahan untuk kanak-kanak menyebabkan timbul dakwaan dari beberapa pihak bahawa dia menggunakan anaknya untuk mengaut keuntungan.
Menjadikan anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana sebagai duta produk tersebut, orang ramai melihat Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta mempergunakan anaknya itu untuk melariskan produk.
Menerusi laporan portal BH Online, Che Ta tampil menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya menegaskan bahawa dia hanya berkongsi kepada umum suatu produk untuk kebaikan kanak-kanak lain.

“Tiada langsung niat saya untuk memanipulasi anak sendiri. Berikutan ramai yang bertanya, apa yang Aaisyah makan sewaktu proses tumbesarannya, jadi saya kongsikan ia sebagai produk makanan tambahan yang terbaik.
“Ia berasaskan makanan sunnah yang premium dan berkualiti tinggi untuk kanak-kanak seperti kurma, madu, kismis, delima, aprikot, buah tin, oren, badam, tomato, anggur dan biji matahari,” katanya memetik portal online berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai produk tersebut, Che Ta berkata dia sebenarnya terpanggil untuk membantu golongan ibu bapa lain dan berharap kehadiran produk makanan tambahan itu dapat mengurangkan masalah kesihatan anak kecil.
Tambah Che Ta, dia cepat terkesan apabila melihat anak kecil yang tidak mempunyai kesihatan yang baik dan menyebabkan ibu bapa mereka berkampung ke hospital disebabkan perkara itu.

Justeru, Che Ta berkata dia bersyukur Aaisyah yang kini berusia 3 tahun jarang berdepan masalah kesihatan semasa membesar.
“Saya bersyukur selama Aaisyah membesar, dia jarang ditimpa sakit.
“Namun, hati saya memang mudah terguris apabila ada ibu bapa yang terpaksa ‘berumah tangga’ di hospital sebab anak mereka jatuh sakit. Jadi, saya berharap produk yang dikeluarkan ini dapat sedikit-sebanyak membantu si kecil,” jelasnya.
Che Ta berkata, dia mempunyai hubungan baik dengan pengilang makanan tambahan berkenaan memandangkan Aaisyah juga memakan tablet tersebut.
Disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk menjalankan kerjasama mengeluarkan produk berkenaan supaya boleh digunakan sama oleh kanak-kanak lain.

Che Ta ditemui media ketika menghadiri majlis minum petang dan pertunjukan koleksi Rizman Ruzaini Raya 2018 di ibu kota, baru, baru ini.
Tambahnya, produk berkenaan baik untuk kanak-kanak memandangkan ia membantu dan menyokong perkembangan minda mereka.
Selain itu, produk yang diberikan nama Champ Champ Champ Aaisyah itu juga membekalkan nutrien penting mempercepatkan pertumbuhan gigi, melawan sembelit serta membekalkan tenaga sepanjang hari kepada anak-anak. – MYNEWSHUB.CC/EZ