BANGKOK – Duta Malaysia di Thailand Datuk Jojie Samuel hari ini mengunjungi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Thailand Jen Prawit Wongsuwon di pejabat beliau di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Lt Jen Kongcheep Tantravanich berkata mereka berdua berbincang tentang isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara.
“Kedua-dua pihak berbincang tentang cara untuk memperluaskan kerjasama antara kedua-dua negara termasuk pembangunan ekonomi sepanjang koridor Sadao-Bukit Kayu Hitam, oleh kerana ia merupakan pusat yang sangat penting bagi perdagangan sempadan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas majlis kunjung hormat itu.
Menurutnya duta Malaysia dan Prawit turut membincangkan kerjasama keselamatan antara Kuala Lumpur dan Bangkok terutamanya berkaitan masalah penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia selain memasuki negara secara haram serta dua kerakyatan.
Beliau berkata timbalan perdana menteri mahu kedua-dua negara memberi keutamaan kepada masalah itu dan mewujudkan kerjasama rapat untuk menanganinya.
Prawit, kata Kongcheep, turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Malaysia yang akan mengadakan pilihan raya umum 9 Mei ini. – BERNAMA

