SETIAP kali Mohamed Salah melangkah masuk ke stadium, para penyokongnya akan bersorak “Mo Salah, Mo Salah, Mo Salah, running down the wing! Salah la la la la, the Egyptian king!”
Pencapaian Salah melepasi pemain bola sepak Portugis, Cristiano Ronaldo sebagai penjaring bola sepak utama Eropah pada minggu lalu telah menaikkan lagi semangat penyokongnya terutama rakyat Mesir.
Pencapaian tersebut sepatutnya membanggakan para pemimpin negara itu namun ahli politik ini tidak senang duduk mula menjadi ‘keyboard warrior’ dan secara terang-terangan cuba memburukkan pemain Liverpool itu.

Lebih menghangatkan lagi, apabila beberapa penganalisis politik dan keselamatan telah mula menulis artikel tentang Salah berunsur politik, lapor AlJazeera.
Dalam pada itu, Salah Montasser yang merupakan penulis rejim Mesir pro el-Sisi cuba menyamakan pemain The Reds itu dengan pengganas di Mesir.
“Mohamed Salah bukan hanya seorang pemain bola sepak … Dia mesti mencukur janggut tebalnya yang tidak sesuai umur atau kemasyhurannya, dan hampir meletakkannya … dalam posisi yang sama dengan radikal, pelampau. Itu pun kalau dia bukan seorang pengganas dan pendukungnya. “ katanya dalam satu kenyataan pada akhbar Al-Ahram milik kerajaan.

Lontarannya itu ternyata membangkitkan kemarahan penyokong-penyokong Salah yang juga rakyat Mesir.
“Saya memberi nasihat kepadanya kerana Mesir berada dalam pertempuran terhadap keganasan, mengapa dia akan menimbulkan kebimbangan dalam keadaan sedemikian,” ujar Salah Montasser cuba pertahankan kenyataan tersebut.
Kejayaan Salah dipergunakan oleh rejim Abdel Fattah el-Sisi bagi mendapat keuntungan dan kepentingan perut sendiri apabila berlaku skandal iklan yang membabitkan penggunaan nama pemain bola sepak terkenal itu tanpa dimaklumkan padanya terlebih dahulu.
Isu tersebut meletus pada penghujung April lalu selepas sebuah syarikat iklan yang dikaitkan dengan Direktorat Perisikan Ketua Mesir, memutuskan untuk menggunakan gambar Salah pada kempen yang mereka jalankan bagi pihak pasukan kebangsaan Mesir dan sebuah syarikat telekomunikasi.
Salah mengadu kepada Persatuan Bola Sepak Mesir, yang mengaggap tindakan itu telah melampau.
“Malangnya, cara saya diperlakukan sangat menghina, saya berharap ia menjadi lebih bertamadun,” katanya.

Kebanyakan penyokong Salah menggunakan media sosial masing-masing untuk menyatakan sokongan mereka kepadanya dengan hashtag “I Stand with Salah”.
Sejak rampasan kuasa Julai 2013 yang menggulingkan bekas Presiden Mohamed Morsi, pemerintahan Mesir di bawah kuasa kuat tentera Abdel Fattah el-Sisi sukar dicabar oleh mana-mana parti politik di negara itu.
Kehadiran Salah dilihat mampu memberi kerisauan politik Mesir di bawah el-Sisi apabila ramai rakyat Mesir mula memberi sokongan padu dan membela pemain bola sepak itu.

Terdahulu, pemain bola sepak Mesir, Abu Trika yang dikenali sebagai El Magico di kalangan peminat bola sepak dan pemain di Mesir merupakan penyokong umum bekas Presiden Mohamed Morsi.
Namun, terdapat krisis yang melibatkan beliau telah menyebabkan dia dituduh sebagai musuh negara.
Sejak itu, satu kempen yang sistematik dan kejam terhadap pemain bola sepak telah menuduhnya berpihak kepada organisasi pengganas melawan Mesir sehinggalah dia tidak lagi tinggal di negara kelahirannya itu. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

