KLUANG – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai terdesak dalam meraih undi apabila mengutus surat khas kepada pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya anggota pasukan keselamatan diberi kebebasan memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hishammuddin berkata adalah tidak wajar bekas perdana menteri itu berbuat demikian dengan seolah-olah mempertikai kedudukan ATM yang selama ini mengekalkan kestabilan negara.
“Saya hendak tanya Tun Dr Mahathir, masa dia jadi pemimpin (perdana menteri) selama 22 tahun dahulu, dia ada paksa tak?
“Tentera dan polis kita, hari ini tidak ada bezanya. Orangnya sama, institusi dan agensi sama juga… apa yang berubah kali ini? Kalau dia boleh kekal kedudukan selama 22 tahun sebagai perdana menteri, kenapa dia hendak pertikai kedudukan tentera,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hak milik tanah pertanian kepada 500 peserta Felcra Sungai Sepuluh, Mukim Paloh di Chamek, di sini hari ini.
Hishammuddin, yang juga naib presiden UMNO itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat khas Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, kepada pegawai memerintah unit-unit Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia menyarankan agar panglima dan pegawai memerintah menggalakkan anggota mereka mengundi tanpa ada sebarangan dorongan atau kekangan daripada mana-mana pihak.
Dr Mahathir, memuat naik surat khas bertarikh 30 April itu menerusi laman Facebook rasmi beliau malam tadi.
Hishammuddin yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong pada PRU14 ini berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga tidak pernah memaksa para pengundi dalam membuat pilihan terutamanya golongan tentera.
“Saya rasa dia (Dr Mahathir) cakap tidak serupa bikin. Daripada dahulu lagi pun, yang mengekalkan kestabilan negara secara rasionaliti ialah tentera. Dan ini telah mengizinkan beliau memimpin negara kita sebagai perdana menteri (selama 22 tahun),” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin turut mengingatkan rakyat supaya memilih pasukan atau parti yang terbukti mempunyai rekod cemerlang dan berjaya mentadbir negara sebelum ini.
Beliau berkata pencapaian BN boleh dijadikan sandaran dan pertimbangan dalam PRU14 berbanding pakatan pembangkang yang tidak mempunyai kesepakatan serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah antara satu sama lain.
Katanya pengundi juga harus bijak menilai dan tidak terperangkap dengan pelbagai isu dibangkitkan pembangkang yang hanya sekadar mahu memenangi pilihan raya umum 9 Mei ini berbanding memikirkan masa depan rakyat. – BERNAMA

