MUKTAMAD… PAS bertindak pecat serta-merta Nik Omar Nik Aziz yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka atas tiket PKR, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan dramatik itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan parti termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tegas beliau, tindakan Nik Omar tergamak bertanding atas tiket PKR dianggap sebagai jelas bertentangan dengan perlembagaan parti dan perjuangan bapanya, Mursyidul Am PAS sendiri, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.
“Kita ambil keputusan pecat Nik Omar serta-merta sebaik saja dia bertanding dengan parti lain. Malah, tindakan menyertai pakatan pembangkang diketuai DAP itu tidak boleh diterima selain dianggap memalukan keluarganya.
“Kita tidak memalukan Nik Omar sebaliknya beliau sendiri memalukan diri dan keluarganya. Nik Omar membuat perkara yang hina pegangan politik dipegang ahli keluarganya sendiri,” katanya kepada media tempatan hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, tindakan Nik Omar berkenaan bukan sesuatu mengejutkan kerana sebelum ini memang sudah ada khabar angin bahawa anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan itu akan berbuat demikian.
“Namun, parti kita tidak terjejas sama sekali walaupun Nik Omar sanggup bertanding atas tiket PKR kerana dalam PAS selama ini, beliau (Nik Omar) bukan sesiapa sebaliknya hanya ahli biasa,” kata Takiyuddin lagi.
Nik Omar, 53, yang juga Pengetua Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka itu dipercayai menyertai serpihan PAS iaitu PAN secara rahsia namun tidak mendapat restu daripada ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Terdahulu, Nik Omar mengejutkan ramai apabila tampil di pusat penamaan calon di dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Kelantan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk bertanding di kerusi DUN Chempaka.
Nik Omar akan menentang penyandang kerusi berkenaan iaitu calon PAS, Mohamad Fathan Mahmood dan Mohamad Fareez Noor Amran wakil dari Barisan Nasional (BN). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA