KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan sebuah stesen baharu iaitu Stesen Terminal Skypark (Skypark Link) di Subang, Selangor akan mula beroperasi pada Selasa ini.
Memetik beberapa sumber, difahamkan perkhidmatan tersebut adalah sebagai alternatif mod perjalanan melalui perkhidmatan rel kepada orang ramai untuk ulang-alik ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di situ.
Malah, kemudahan tersebut juga dapat memberi kemudahan kepada ribuan pengguna terutama kepada mereka yang bekerja dan tinggal di kawasan sekitarnya.
Menurut Pengurus Besar Jabatan Perolehan KTMB, Mohd. Haider Yusoff, stesen berkenaan sudah siap sepenuhnya dan bersedia untuk beroperasi selepas lima tahun pembinaannya.
“Ia merupakan projek di bawah Kementerian Pengangkutan dan telah bermula pada 21 Februari 2013. Skypark Link akan menyediakan perjalanan ekspres dan berhenti di tiga buah stesen iaitu KL Sentral, Subang Jaya dan Skypark,” katanya dipetik sumber.
Dalam pada itu, Mohd Hider berkata sebagai permulaan pihak KTMB menawarkan tiket percuma untuk laluan ini selama sebulan mulai 1 Mei hingga 31 Mei bagi mempromosikan perkhidmatan ini kepada orang ramai.
“Buat permulaan, perkhidmatan baharu ini beroperasi dengan kekerapan setiap 60-180 minit hingga 31 Mei. Mulai 1 Jun, kekerapan perkhidmatan adalah setiap 60 minit,” kata beliau dipetik Bernama.
Sementara itu, tambah beliau sebanyak 1,400 tiket tambahan untuk perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Butterworth untuk perjalanan 8 dan 9 Mei disediakan bersempena Pilihan Raya Umum ke-14.
“Atas permintaan ramai, kami membuat keputusan untuk menambah sebanyak dua ‘trip’ ETS sehari dari KL Sentral ke Butterworth dan sebaliknya,” tambahnya.
Sumber berkata, tiket akan dijual di kaunter dan dalam talian mulai 30 April ini. – MYNEWSHUB.CC/AM