GEORGE TOWN – Polis menahan dua warga emas bersama-sama 45 peket plastik lutsinar yang disyaki heroin dan syabu dalam serbuan di Taman Telok Molek, Butterworth semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dua lelaki yang ditahan pada 9 malam itu masing-masing berumur 61 dan 68 tahun.
“Hasil siasatan mendapati 45 peket plastik lutsinar yang terdiri daripada 44 peket dadah disyaki heroin dan satu peket syabu dengan anggaran berat keseluruhan 31 gram itu adalah untuk kegunaan sendiri. Nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan RM1050.00,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis morfin dan methamphetamine serta direman enam hari hingga 30 April ini bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya pihak polis akan sentiasa menjalankan operasi narkotik secara agresif ke atas pengedar dadah di daerah ini, selain mengharapkan kerjasama masyarakat dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah dan jenayah di kawasan mereka. – BERNAMA