PASIR PUTEH – Program Menghubung Menyatu (CTU) yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan, berjaya membantu menyelesaikan pelbagai masalah dalam kalangan rakyat terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata masalah adu domba, menabur fitnah dan memburuk-burukkan kerajaan pusat dapat diselesaikan hasil program turun padang itu yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
“Program ini juga dapat menyatupadukan rakyat daripada pelbagai golongan akibat berlainan fahaman politik,” katanya ketika berucap merasmikan program CTU @ Pasir Puteh di Sekolah Kebangsaan Tualang Tinggi di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKMM, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.
Asyraf Wajdi yang juga bapa angkat UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata program berkenaan perlu diperbanyakkan lagi untuk memberi peluang kepada pegawai kerajaan menyelami sendiri denyut nadi rakyat secara dekat.
Sementara itu, Mohd Sukari berkata program berkenaan telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk di sekitar Parlimen Pasir Puteh.
Beliau berkata aktiviti yang dilaksanakan seperti Kembara Jalinan Kasih (KJK) di enam kampung iaitu Kedai Menanti, Kampung Danan, Selising, Banir Belikong, Bukit Abal dan Berangan, mendapat sambutan baik daripada masyarakat.
Katanya melalui aktiviti berkenaan, seramai 200 penduduk miskin menerima sumbangan yang berupa barangan keperluan asas. – BERNAMA