KUANTAN – Pasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan di Jalan Bukit Ubi, Kuantan, menangkap seekor ular sawa sepanjang kira-kira 23 kaki di Jalan Penor-Ubai, di sini, awal pagi tadi.
Ular seberat lebih 100 kilogram itu dipercayai mengalami kecederaan selepas dilanggar kenderaan ketika melintas jalan berkenaan.



Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Sani Harun berkata, kelibat ular sawa itu disedari pengguna jalan raya yang lain sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, kira-kira 2 pagi.
Sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan ular sawa itu didapati sedang menjalar di padang berdekatan jalan raya berkenaan dalam keadaan lemah.
Menurut Mohd Sani, pada mulanya anggota ingin menghalau ular berkenaan ke dalam hutan berhampiran, namun terpaksa dibawa pulang kerana ia mengalami kecederaan.
Tambahnya lagi, anggota bomba mengambil masa hampir satu jam untuk menangkapnya kerana reptilia itu bertindak sedikit agresif kerana menganggap ianya menerima ancaman.
Selepas dibawa pulang, haiwan berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pagi tadi. – MYNEWSHUB.CC

