KUALA LUMPUR – Program MyLesen Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaksanakan bagi memberi pendedahan khusus tentang keselamatan jalan raya kepada pelajar sekolah yang menyertai badan beruniform Kadet JPJ.
Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib berkata hingga kini, seramai 173 kadet JPJ menyertai program tersebut pada peringkat negeri Selangor, melibatkan 24 sekolah.
“Program ini sama seperti program MyLesen yang lain. Yang berbeza ialah program MyLesen Kadet JPJ ini akan diajar dan dilatih secara terus oleh pegawai-pegawai JPJ sendiri.
“Bagi peserta program MyLesen yang lain pula, mereka harus berurusan terlebih dahulu dengan mana-mana institut memandu untuk belajar dan memperoleh lesen,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran program MyLesen Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor di Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya di sini, hari ini.
Nazli berkata pendedahan awal yang diberikan kepada Kadet JPJ dapat membantu mereka memahami peraturan jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan. – BERNAMA