BESUT – Sebuah jambatan baharu bernilai RM20.5 juta yang menghubungkan Kampung Durian Telur dan Pasir Akar di Hulu Besut di sini akan dibina tidak lama lagi bagi menggantikan jambatan bailey yang dibina pada tahun 1992.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad berkata jambatan sepanjang 140 meter dan lebar 7.5 meter itu akan dibina 50 meter dari jambatan bailey sedia ada.
“Jambatan yang akan memberikan manfaat kepada 1,000 penduduk di kedua-dua kampung itu dijangka siap pada Mac 2020,” katanya kepada Bernama selepas memecah tanah projek jambatan berkenaan di Kampung Pasir Akar, Hulu Besut hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata pembinaan jambatan itu bukan sahaja memudahkan perjalanan penduduk yang sebelum ini terpaksa menggunakan jambatan bailey yang hanya boleh dilalui sebuah kenderaan pada satu masa tetapi juga akan merancakkan lagi ekonomi penduduk di kawasan pedalaman Hulu Besut.
“Ini kerana jambatan ini juga merupakan penghubung penting bagi pengguna jalan raya dari Kelantan untuk ke Terengganu.
“Saya berharap rakyat terutamanya di Hulu Besut harus bersyukur dengan pembinaan jambatan tersebut yang pasti akan merancakkan lagi pembukaan pekan Pasir Akar yang akan dijadikan sebagai sebuah Pusat Pertumbuhan Baharu di Hulu Besut pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

