IPOH – Polis Perak kini mempergiat usaha mengesan suspek terlibat dengan kematian ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ yang ditemui dibakar di Lumut pada 16 Jan lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ACP Fadzil Ahmat berkata siasatan lebih menjurus kepada mengesan mereka yang mempunyai kaitan dengan mangsa dan suspek yang berkemungkinan.
“Namun setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh di IPK Perak di sini hari ini.
Pada 21 Jan lepas, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A.Paramasivam mengesahkan identiti mayat yang ditemui dibakar di kawasan hutan berdekatan Swiss Garden Resort adalah Law Yong Chow, 43, iaitu lelaki yang dilapor hilang di Bukit Mertajam pada 13 Jan lepas.
Identiti mangsa itu disahkan melalui bedah siasat berdasarkan persamaan rekod pergigiannya.
Fadzil berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ahli perniagaan itu dilarikan sekumpulan lelaki pada 1 tengah hari di sebuah kedai urut refleksologi.
Beliau berkata keluarga mangsa tidak pernah menerima sebarang ancaman atau ugutan sebelum kejadian itu berlaku.
Katanya, motif pembunuhan belum dapat dipastikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

