SIBU – Sarawak harus mengurangkan kebergantungannya kepada tenaga kerja mahir asing dan melahirkan pekerja tempatan yang lebih cekap dan mahir untuk memenuhi perubahan besar dalam industri ketika negara menuju ke arah era Industri 4.0.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata kerajaan negeri komited untuk melipatgandakan usaha dan dasar berkaitan pendidikan teknikal dan perindustrian untuk tujuan itu.
“Kita perlu meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja di negeri ini dengan set kemahiran yang diperlukan untuk bekerja dalam Industri 4.0. Jika kita tidak mengambil tindakan dari sekarang, kita akan ketinggalan jauh,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada perasmian Kolej Komuniti Sibu di Campus Park, Jalan Wawasan 11F di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh pengerusi jawatankuasa Rancangan Sibu 1 (RS1), Datuk Wong Kee Yew.
Beliau berkata, untuk memenuhi keperluan industri, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah permulaan usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja yang berkualiti.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, kira-kira 1.5 juta peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan 60 peratus daripadanya perlu mempunyai kelayakan berdasarkan TVET,” kata Wong.
Mengenai Kolej Komuniti Sibu, beliau berkata ia akan meningkatkan lagi usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Sibu sebagai hab pendidikan di wilayah tengah.
Kewujudan kolej tersebut akan meningkatkan dan menambahbaik potensi pembangunan belia dalam pendidikan dengan menyediakan hala tuju, kerjaya dan kemahiran supaya kumpulan ini dapat menyumbang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
“Pembukaan Kolej Komuniti Sibu akan membantu mengubah potensi belia di Sibu dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan kemahiran dan teknikal, sekaligus membantu untuk membangunkan Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Kolej tersebut antaranya menawarkan Program Sijil Pelancongan dan Pengembaraan. – BERNAMA