BINTANG Hollywood, Russell Crowe, 54, telah mengadakan ‘Lelongan perceraian’ terhadap barang-barangnya yang berjaya meraih jutaan dolar semasa sambutan hari kelahirannya yang ke-54 baru-baru ini.
Lapor Berita Harian, aktor kelahiran New Zealand itu berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk barangan-barangan tersebut dilelong.
Tambahan pula, lelongan tersebut sebagai kelangsungan hidupnya untuk membina kehidupan baru memandangkan dia sudah lama bercerai dengan isterinya Danielle Spencer, 48, pada 2012.

Barangan yang dilelong termasuklah barangan peribadi dan memorabilia dari filem Gladiator dan Cinderella Man.
Antara barang yang hangat dan mendapat tumpuan jualan adalah barangan kemas yang dihadiahkan kepada bekas isterinya, replika kereta kuda Rom dari filem Gladiator yang berfungsi sepenuhnya, mencecah sehingga AS$49,876 (RM193,000) dan perisai badan yang pernah dipakainya dalam filem itu mencecah $125,000 (RM 482,928).

The Sotheby, Sydney yang mengendalikan barang lelongan tersebut dengan menamakannya sebagai Russell Crowe: The Art of Divorce telah meraih sebayak $2.8 juta (RM10.8 juta) dengan 200 barangan.
“Orang ramai seperti hilang akal. Ia seolah kegilaan terhadap Crowe,” katanya kepada stesen televisyen Channel Seven semalam.


Ketua Pegawai Eksekutif Sotheby Australia, Gary Singer berkata, lelongan itu sangat berjaya, menyaksikan memorabilia dari filem yang meraih Oscar, Gladiator sebagai barangan paling popular. – MYNEWSHUB.CC/MIZE