KERINDUAN pelakon dan pengarah, Dira Abu Zahar terhadap dunia lakonan tidak pernah terpadam, namun tanggungjawab lain mendesak wanita ini untuk membuat pilihan terbaik.
Dira berkata, fokus utamanya kini lebih terarah kepada dunia politik kerana percaya pembabitannya itu akan membuka ruang untuk memperjuangkan hak penggiat seni tanah air.
“Untuk kembali berlakon, mungkin tidak. Lagipun, sekarang ramai bakat baharu saban masa muncul mewarnai dunia lakonan. Mungkin sudah tiba masa untuk saya beri pula perhatian kepada masyarakat.
“Saya anggap pembabitan dalam dunia politik sebagai platform untuk memperjuangkan hak anak seni. Memang rindu untuk berlakon, tetapi masa saya terbatas.
“Minat itu saya salurkan dengan menerbitkan drama dan filem menerusi syarikat produksi saya, Hyper Pictures Sdn. Bhd.,” kata Dira dipetik BH Online.
Dalam pada itu, Dira mengakui antara faktor yang mendorong beliau sertai dunia politik adalah untuk menyambung legasi arwah bapanya iaitu Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

Menurut Dira, usaha arwah yang tidak pernah berhenti dalam membantu masyarakat serta menaikkan martabat Melayu telah membuatkan beliau tertarik untuk mengikuti jejak bapanya yang juga bekas Ketua Menteri Melaka.
“Saya semakin serius dengan politik selepas dilantik menjadi Exco Puteri UMNO Tangga Batu, Melaka. Lagipun, ia bukan sesuatu yang baharu kerana saya dibesarkan dalam keluarga aktif dalam politik.
“Ia sudah sebati dalam diri saya, cuma mungkin sudah takdir, saya terlebih dahulu menjadi anak seni. Dari situ, saya mengumpul pelbagai pengalaman mengumpul kenalan dan belajar melayani pelbagai kerenah masyarakat,” kata aktres tersebut.
Baca: Matang Dalam Lontar Hujah, Dira Dipuji Ramai
Ujar Dira lagi, beliau juga ingin mengikut cara arwah bapanya yang sentiasa dekat dengan komuniti setempat secara penuh ikhlas dan diplomasi. – MYNEWSHUB.CC/AM