KUALA LUMPUR – Pemenang tunggal pingat emas negara dalam acara olahraga Sukan Komanwel setakat ini, G. Saravanan, berharap kontinjen Malaysia akan menamatkan kemarau pungutan pingat sejak 16 tahun lepas apabila acara trek dan padang Sukan Komanwel 2018 membuka tirainya di Gold Coast, Australia, Ahad ini.
Ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan empat tahun sekali itu pada 1998, Saravanan meraih pingat emas dalam acara jalan kaki lelaki 50km dan mencatat rekod kebangsaan dengan masa empat jam 10.05 minit, manakala dua atlet dari Australia, Duane Cousins (4:10.30) dan Dominic McGrath (4:12.52), masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa.
Empat tahun kemudian iaitu pada edisi di Manchester, Yuan Yufang menang pingat gangsa dalam acara jalan kaki wanita 20km dan itu merupakan pingat terakhir dimenangi Malaysia dalam acara olahraga.
“Saya berharap mereka akan menang sekurang-kurangnya satu gangsa kali ini supaya orang akan mula berfikir apa yang perlu dilakukan untuk meraih pingat perak dan gangsa pula pada edisi akan datang. Saya rasa, 20 tahun adalah masa yang terlalu panjang, kita sepatutnya mengekalkan momentum itu.
“Memanglah, bukan mudah untuk menang, tetapi para atlet perlu berjuang habis-habisan. Sebagai atlet, kalau anda hilang walaupun satu peratus harapan atau fokus anda, maka habislah…Anda tidak akan berjaya,” kata Saravanan, 48, ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Apabila ditanya tentang rahsia di sebalik kejayannya, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 1995 itu berkata empat faktor membantu untuk membolehkannya mengukir nama dalam sejarah sukan tanah air iaitu kelebihan bertanding di tempat sendiri, jurulatih, kaedah latihan dan meditasi.
“Sebagai tuan rumah, semangat sungguh luar biasa apabila bersaing di hadapan rakan dan keluarga sendiri. Saya banyak berlatih untuk membiasakan diri dengan laluan perlumbaan, selain cuaca yang begitu membantu saya. Kita lebih memahami tentang cuaca dan kelembapan dalam membuat persiapan untuk menghadapi perlumbaan selama empat jam yang penuh mencabar, manakala sesetengah peserta tidak minum air secukupnya untuk memastikan tubuh mereka sentiasa cukup air.
“Saya beruntung kerana mempunyai jurulatih hebat, Wang Lin, yang mengguna pakai regim latihan Cina, yang pada awalnya memang sukar untuk diamalkan, tetapi akhirnya dapat juga saya ikuti kerana saya mempunyai latihan asas (ketenteraan) bersama Tentera Udara dulu. Kami mempunyai satu program latihan berkesan, yang dimulakan empat tahun sebelum sukan itu berlangsung.
“Akhir sekali, meditasi (yoga) dan semangat juang yang saya pelajari daripada seni bela diri (Shaolin Kung Fu) membantu saya mengatasi semua halangan dari segi fizikal dan mental untuk terus berjuang selama empat jam bagi memenangi perlumbaan itu. Kesemuanya adalah kerana kecintaan dan kebanggaan dapat bertanding mewakili negara,” kata jaguh berasal dari Pulau Pinang itu.
Beliau berkata, semasa berlumba, perkara yang berlegar dalam fikirannya adalah berjuang mati-matian untuk sampai ke garisan penamat untuk meraih pingat emas “kerana saya akan dikenang kerananya”.
Selain pingat emas Sukan Komanwel 1998, Saravanan, yang kini menjalankan perniagaan sendiri, juga meraih pingat emas pada Sukan SEA Jakarta 1997 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 dalam acara sama, sebelum bersara sebagai atlet dan menjadi jurulatih skuad remaja kebangsaan (pelapis) hingga 2012.
Sementara itu, presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) Datuk Karim Ibrahim berkata Malaysia mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan kemarau 16 tahun dalam pungutan pingat melalui atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei.
“Kami menjangka akan menang satu pingat daripada acara lompat tinggi. Insya-Allah kita akan dapat akhiri kemarau ini,” katanya.
Hup Wei, yang mencatat rekod peribadi 2.28m pada Kejohanan ACT State di Canberra, Australia, pada Januari, kini menduduki ranking kedua dalam senarai Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), di belakang atlet Amerika Syarikat Jeron Robinson (2.31m).
Nauraj, yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan terbaik peribadi 2.30m, yang dibuat di Singapura pada April 2017, menduduki tangga ke-11 dengan catatan terbaiknya 2.24m, yang dibuat pada satu kejohanan di Sydney pada Februari tahun ini.
Sementara itu, dua atlet Program Podium, atlet lompat kijang Muhd Hakimi Ismail dan atlet lempar cakera Muhd Irfan Shamsuddin, juga berkemungkinan meraih pingat di Gold Coast. – BERNAMA