MELAKA – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris menasihati pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar mendalami ilmu pentadbiran persatuan dan mengikut undang-undang negara yang telah termaktub sejak sekian lama.
Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata ia kerana penubuhan persatuan di negara ini perlu mengikut prosedur dan undang-undang yang ditetapkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) bagi mengelak sebarang isu lain di kemudian hari.
Katanya perintah pembubaran sementara yang dikeluarkan RoS kepada PPBM hari ini jelas memperlihatkan tahap keupayaan parti berkenaan untuk mentadbir negara kerana tidak mampu membentuk sebuah persatuan.
“Undang-undang ini bukan kita punya dan kita tidak boleh melangkaui undang-undang yang telah ditetapkan termasuk dalam isu penubuhan persatuan.
Ia perlu dipatuhi dari semua peringkat bermula untuk menubuhkan persatuan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar dan Sekolah Cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, 873 pelajar cemerlang UPSR, SPM, STPM dan STAM pada tahun lepas menerima anugerah dan insentif berjumlah RM320,500 daripada kerajaan negeri.
Beliau mengulas pengumuman pembubaran sementara PPBM oleh ROS berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, berkuat kuasa hari ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata pembubaran sementara itu perlu menjadi iktibar kepada pemimpin parti berkenaan supaya bermuhasabah diri serta tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Kita harap selepas ini tiada dakwaan sabotaj atau dengki daripada pihak PPBM tentang pembubaran sementara itu kerana ia jelas tidak mengikut undang-undang” katanya.
Sementara itu, beliau berkata keputusan DAP tidak mengunakan lambang roket pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mencerminkan parti berkenaan tidak lagi tidak relevan dalam masyarakat negara ini khususnya masyarakat Cina.
“Maka terkunci matilah DAP,” katanya mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mengesahkan parti itu akan menggunakan logo sama dengan parti Pakatan Harapan di Semenanjung. – BERNAMA