ALOR SETAR – Jabatan Kastam Kedah merampas 1,250 kotak mengandungi ayam sejuk beku bernilai RM102,789 di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam pada 21 Jan lepas.
Pengarahnya Abdul Latif Abdul Kadir berkata rampasan dibuat ke atas bahan seberat 15,000 kilogram daripada Thailand itu setelah didapati dokumen yang dikemukakan pihak terbabit adalah palsu.
“Ayam sejuk beku itu mempunyai sijil halal dan dipercayai untuk dihantar ke sekitar Lembah Klang. Mungkin permintaan yang segera daripada peniaga menyebabkan mereka terpaksa menghantar barangan itu dengan cepat walaupun tarikh permitnya telah tamat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sehubungan itu seorang warga Thailand dan rakyat tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
Oleh kerana barangan itu mudah rosak, pihaknya telah melelong bahan makanan itu, katanya. – BERNAMA

