KUNAK – Sebanyak 10 kematian akibat denggi direkodkan di Sabah bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini .
Rekod itu dikongsikan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi kepada Bernama dan berkata hampir semua daerah di Sabah menunjukkan peningkatan kes denggi dari Januari sehingga 31 Mac lepas.
“Sejumlah 958 kes denggi direkodkan berlaku di seluruh Sabah bagi tempoh tiga bulan ini,” katanya ketika dihubungi menerima aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.
Berikutan itu, Dr Christina berkata pihaknya telah melaksanakan aktiviti kawalan di lapangan selain menyediakan wad khas bagi pesakit disyaki menghidap denggi untuk pantauan dari semasa ke semasa.
“Orang awam juga dinasihatkan untuk memberi kerjasama kepada Pasukan Kawalan Jabatan Kesihatan dalam melaksanakan tugasan mereka,” katanya.
Dr Christina turut menasihatkan supaya orang awam peka terhadap kebersihan kawasan dalam dan sekitar rumah daripada bekas bertakung air dengan menutupnya atau membubuh ubat jentik-jentik.
Di samping itu, beliau turut menyarankan individu yang mengalami gejala seperti demam, sakit kepala, sakit sendi, sakit otot, sakit bahagian belakang mata, ruam, muntah, cirit-birit, letih serta kurang selera makan agar segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan. -BERNAMA

