Enam orang pekerja pembinaan maut manakala lima lagi cedera apabila tembok konkrit setinggi 15 meter (m) dan 100m panjang runtuh di kawasan pembinaan di Jabal Kaaba di Makkah, semalam.
Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Makkah terpaksa menggunakan jentera berat untuk membersihkan kawasan runtuhan, memetik laporan dari Saudi Gazette hari ini.
Jurucakap jabatan itu Leftenan Kolonen Saleh Al-Olayani berkata tembok berkenaan dibina sebagai sokongan untuk projek pembinaan Jalan Raya Lingkaran Pertama, yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembesaran Masjid Raja Abdullah.
Sementara itu, bandaraya Makkah kini sedang menerima kedatangan jemaah Haji yang menunaikan rukun Islam ke-lima itu tahun ini.
Hampir 1 juta jemaah Haji dari pelbagai negara sudah pun tiba di Makkah.
Menurut Direktorat Pasport Arab Saudi, seramai 263,633 jemaah datang ke Makkah melalui udara, 896 melalui jalan laut dan hanya lapan menggunakan jalan darat.
“Di semua pintu masuk ke dalam Makkah sudah pun disediakan anggota yang cukup dengan kemudahan berteknologi tinggi bagi mempercepatkan urusan ketibaan pada jemaah,” kata jurucakap direktorat itu.
Gabenor Makkah Putera Mishal Abdullah yang juga Ketua Jawatankuasa Haji Pusat akan melawat Pelabuhan Islam Jeddah (JIP) untuk melihat tahap kesediaannya untuk musim haji tahun ini. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K




