SEREMBAN – Masyarakat dipinta sentiasa memberi semangat serta dorongan kepada penagih dadah untuk pulih daripada ketagihan dan seterusnya dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata masyarakat tidak harus mengenepikan golongan tersebut sehingga menyebabkan mereka terpaksa duduk dalam satu komuniti yang berbeza.
“Kita sebagai masyarakat jangan tinggalkan mereka tetapi kita bimbing dan bawa bersama serta anggap mereka sebagai anak didik kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Forum Jom Sembang Sayang dan Sokong anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah AADK negeri Nazira Sadiron dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas negeri, Mustapha Nagoor.
Abu Ubaidah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ampangan berkata kerajaan negeri tidak pernah berputus asa dalam menangani isu berkaitan dadah di negeri ini daripada berleluasa.
“Kerajaan negeri bukan lagi menyediakan perkhidmatan tetapi kita dalam fasa menawarkan perkhidmatan. Kami daripada pihak kerajaan sentiasa membantu, apa juga masalah boleh datang jumpa dan berbincang bersama,” katanya.
Sementara itu, Nazira berkata kira-kira 2,025 penagih sedang melalui pemulihan dadah dalam komuniti di negeri ini.
“Mengikut populasi sejuta orang, tidak lebih daripada 0.2 peratus terlibat dengan dadah dan di negeri ini ia masih terkawal,” katanya. – BERNAMA