KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pergigian 2017 bagi menubuhkan Majlis Pergigian Malaysia dan Lembaga Juruterapi Pergigian Malaysia untuk mengawal selia profesion itu di negara ini.
RUU itu diluluskan menerusi undian suara selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dengan beberapa pindaan di peringkat jawatankuasa.
Ia antaranya melibatkan penggantian perkataan RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dengan perkataan RM20,000 yang bertujuan mengurangkan amaun denda dan menggugurkan hukuman penjara bagi Sub Fasal 42(5) dan 44(2).
Ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Dr Subramaniam berkata rang undang-undang berkenaan merangkumi bidang kuasa yang luas seiring dengan perkembangan dan amalan teknologi terkini dalam bidang pergigian.
“Dengan perkembangan pesat dan dinamik dalam bidang pelancongan kesihatan Malaysia, dijangka ramai pengamal pergigian serta pesakit akan merentasi sempadan dan memasuki negara ini yang akan membawa kepada cabaran baharu yang harus ditangani melalui RUU ini,” katanya.
Dr Subramaniam berkata pelaksanaan RUU yang mengandungi sembilan bahagian dan 104 Fasal juga secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada profesion pergigian.
Beliau berkata ia juga mensyaratkan bahawa hanya pengamal profesional yang berkelayakan boleh menawarkan perkhidmatan pergigian kepada rakyat Malaysia dan warga asing dalam negara ini.
“Dengan ini kualiti perkhidmatan pergigian akan terjamin dan meningkatkan keyakinan serta kepercayaan orang awam,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – BERNAMA