KOTA TINGGI – Sebanyak 24 saman dikeluarkan manakala enam motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan 2018 yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata operasi yang bermula dari pukul 10 malam hingga 12.30 tengah malam itu melibatkan kawasan Bandar Kota Tinggi.
“Seramai 38 orang diperiksa manakala 35 buah motosikal telah diperiksa di mana 24 daripadanya dikenakan saman.
Saman tersebut antaranya melibatkan kesalahan lesen memandu, nombor plat tidak mengikut peraturan dan dua kenderaan tidak sempurna aksesori,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat.
Sejumlah 12 anggota melibatkan pegawai dan anggota trafik serta anggota dari Balai Kota Tinggi terlibat dalam operasi berkenaan. – BERNAMA