IPOH – Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mengesahkan hanya akan bertanding di Perak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Bagaimanapun katanya beliau belum memutuskan sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Taiping dan Dewan Undangan (DUN) Kepayang yang disandangnya sekarang.
“Saya tegaskan tidak akan bertanding di luar Perak, saya sayang Perak dan anak jati negeri ini, mustahil saya akan bertanding di negeri lain termasuk Johor.
“Tidak dinafikan akan ada percaturan muka lama dan baharu termasuk kerusi, cuma hari ini bukanlah harinya (untuk umum),” katanya dalam sidang media di Wisma DAP, di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, sebuah akhbar berbahasa Cina mendakwa Nga berkemungkinan bertanding di Parlimen Teluk Intan yang ketika ini disandang Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.
Nga berkata semua spekulasi berkaitan kerusi yang akan ditandinginya hanya akan terjawab selepas pimpinan tertinggi membuat keputusan.
Mengulas perkembangan berkaitan, beliau berkata Anggota DUN Jelapang Teh Hock Ke dan Chen Fook Chye (DUN Keranji) tidak akan mempertahankan kerusi masing-masing pada PRU14 nanti.
Katanya ini kerana kedua-duanya ingin menumpukan perhatian terhadap keluarga selain memberi peluang kepada muka baharu untuk mewakili parti pada PRU14 nanti.
“Keputusan yang dibuat ini tidak dipengaruhi sesiapa malah mereka sudah menyatakan hasrat ini kepada kepimpinan DAP sejak sebelum ini lagi,” katanya.
Pada Pilihan Raya Kecil Teluk Intan yang berlangsung pada 2014, Mah berjaya menumbangkan calon DAP, Dayana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.
Untuk rekod, Barisan Nasional kini menguasai 31 kerusi DUN sementara pembangkang mempunyai 24 kerusi dengan 18 dipegang oleh DAP, PKR (5) dan Amanah (1) sementara PAS ada empat kerusi. – BERNAMA

