Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CELCOM Axiata Bhd Datuk Seri Shazalli Ramly hari ini menidakkan khabar angin yang menyebut beliau bakal menduduki kerusi selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Malaysia Airlines (MAS).
Memetik laporan The New Straits Times, berita yang mengatakan beliau akan menggantikan CEO MAS, Ahmad Jauhari Yahya adalah tidak benar.
Shazalli berkata beliau akan kekal berada di Celcom untuk lima tahun akan datang bagi mengukuhkan syarikat berkenaan.
Nama Shazalli disebut-sebut sebagai calon jawatan itu yang berpotensi membawa semula MAS untuk merekodkan keuntungan dalam syarikat penerbangan negara yang sedang menghadapi masalah itu.
Bukan hanya nama Shazalli yang menjadi buah mulut orang ramai, nama lain seperti bekas CEO MAS yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Kumpulan Axiata milik Khazanah Nasional, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim turut diperkatakan.
Idris bagaimanapun telah menafikan cakap-cakap itu sebelum ini.
Syarikat pemilik MAS, Khazanah kini sedang meninjau calon-calon berpotensi dari industri penerbangan global dan juga tempatan untuk menjadi CEO baharu MAS.
Ahmad Jauhari, yang kontrak tiga tahunnya dijadual tamat bulan depan, akan terus menerajui entiti sedia ada MAS sehingga 1 Julai 2015 bagi melicinkan peralihan daripada entiti lama kepada entiti baharu MAS yang disusun semula. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K

