KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan kini membuat kajian baharu taburan hujan memandangkan data sedia ada merupakan data sehingga 2014.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menarik perhatian bahawa pada 2016 dan tahun lepas beberapa lokasi yang sebelum ini tidak pernah mengalami banjir seperti Kuching, mengalami musibah itu disebabkan taburan hujan berlebihan.
“Kajian yang dijangka siap pada April ini diharap memberi data lebih tepat mengenai kawasan berkemungkinan dilanda banjir di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di sini, hari ini.
PRABN mula beroperasi pada akhir 2017 dengan membuat ramalan dan amaran banjir melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) fasa satu di tiga lembangan sungai utama iaitu Sungai Pahang, Sungai Terengganu dan Sungai Kelantan.
Merujuk kepada amaran banjir 27 Nov 2017 bagi beberapa lokasi di Kelantan dan Terengganu, beliau berkata ketepatan ramalan sehingga 90 peratus membolehkan agensi penyelamat mengambil tindakan awal dan proses pemindahan awal penduduk telah dapat mengurangkan impak banjir.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Junaidi berkata inisiatif PRAB dengan kos keseluruhan RM550 juta melibatkan pemasangan sistem ramalan banjir untuk 40 lembangan sungai utama di seluruh negara dalam tiga fasa .
Objektifnya ialah memperkukuh sistem ramalan dan amaran banjir negara dengan meningkatkan tempoh masa amaran banjir dua hari lebih awal.
Amaran banjir itu menyasarkan lebih 3.4 juta penduduk yang terkesan dengan banjir melalui pelaksanaan empat komponen utama iaitu pengesanan, ramalan, pangkalan data dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta amaran dan hebahan.
Selepas fasa satu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, fasa PRAB seterusnya akan dilaksana di 37 lembangan sungai utama seluruh negara bermula tahun ini dan dijangka siap pada 2022.
“Apabila PRAB siap sepenuhnya, dianggarkan 70 peratus kawasan banjir di seluruh negara akan mempunyai sistem ramalan dan amaran banjir,” kata Wan Junaidi. – BERNAMA