KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan mati lemas, pagi tadi, selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Sungai Marang Kik, Jalan Skim Purutan, dekat Tambunan, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa Nathneal Liocember Herman, 10, dipercayai lemas di sungai itu sewaktu beriadah bersama keluarganya.
Sepasukan tujuh anggota Bomba dan Penyelamat Tambunan yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.58 petang bergegas ke lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dijumpai jam 6 pagi tadi oleh pasukan bomba, polis, dan keluarga sejauh 100 meter dari tempat mangsa terjatuh,” kata pusat gerakan operasi dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, di KUDAT, seorang lelaki berumur 25 tahun yang merupakan seorang kontraktor terkena renjatan elektrik semasa membuat kerja-kerja penyelenggaraan wayar, pagi tadi.
Pihak Bomba yang menerima panggilan pada 9.15 pagi bergegas ke tempat kejadian dan memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital dengan ambulans bagi rawatan lanjut. – BERNAMA