JERITAN pilu ibu kepada anak perempuan berusia dua tahun yang maut akibat sesak nafas selepas ditinggalkan dalam kereta selama empat jam menyelubungi perkarangan hospital, petang semalam.
“Maafkan ibu… Maafkan ibu sayang, ibu tak sengaja,” teriak Hasmah Masroh yang jelas kesal dan sedih atas apa yang berlaku sehingga perlu ditenangkan oleh ahli keluarga dan kenalan.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah kolej kemahiran di Batu Tiga, Port Dickson, Negeri Sembilan itu, mangsa, Nur Awfa Humaisha Muhammad Ali Riduan maut selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta yang diletakkan di ruang parkir kolej tersebut.

Lapor Harian Metro, suasana pilu menyelubungi perkarangan bilik mayat Hospital Port Dickson (HPD) dan Hasmah dilihat tidak mampu menahan sedihnya sehingga menyebabkan lebih 30 rakan sekerja yang hadir turut mengalirkan air mata.
“Ibu minta maaf sayang, ibu betul-betul terlupa… ibu tak ingat, ibu menyesal. Malam tadi (kelmarin) Awfa okey saja, hari ini Awfa dah pergi tinggalkan ibu,” kata wanita tersebut.
Menurut info dari rakan Hasmah, sebelum kejadian, dia mengangkat anaknya yang sedang lena tidur di rumahnya dan meletakkan di tempat duduk belakang kereta Proton Saga miliknya.
Sebaik tiba di kolej berkenaan, dia mematikan enjin kenderaannya dan terus memasuki pejabat sehingga tidak sedar anaknya ada bersama.

“Kejadian pagi ini di luar jangkauan. Dia sudah hantar anak sulung ke tadika, namun terlupa anak kecilnya itu tidak dihantar ke rumah pengasuh,” katanya yang enggan dikenali kepada akhbar tersebut.
Jelasnya, Hasmah mungkin berada dalam keadaan tertekan dengan lambakan kerja serta kolej tersebut yang menerima lawatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) semalam mungkin bermain di fikirannya.
Menurut bapa mangsa, Muhammad Ali Riduan, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu pada 1.30 tengah hari selepas dihubungi isterinya ketika sedang bekerja di Pejabat Tanah Daerah Seremban.

“Saya reda dengan ketentuan ini, dan sesungguhnya Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya sebak dan tidak mahu mengulas panjang.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin berkata, siasatan awal pihak polis mendapati mangsa ditinggalkan dalam keadaan pintu dan tingkap tertutup dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Ujarnya, wanita berkenaan hanya menyedari anaknya tertinggal empat jam kemudian sebelum bergegas ke kenderaan untuk mendapatkan bayi perempuannya itu.

“Malangnya mangsa sudah tidak sedarkan diri dan segera dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson sebelum disahkan sudah meninggal dunia serta dirujuk ke HPD,” jelasnya.
Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat strok haba atau kepanasan melampau.
Siasatan kini masih dijalankan pihak polis mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Untuk makluman, jenazah mangsa telah selamat dikebumikan selepas solat Maghrib, malam tadi.