PORT DICKSON – Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini menetapkan 6 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang anggota tentera yang didakwa atas kesalahan membunuh anak perempuannya Nur Aina Nabihah Mohammad Abdullah, 9.
Majistret Siti Khariah Abdul Razak menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya A. Ashwini memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat.
Tertuduh, Mohammad Abdullah Mohamed, 35, yang berpakaian lokap tiba di Mahkamah Majistret Port Dickson dengan diringi pihak polis pada 9 pagi.
Mohammad Abdullah didakwa melakukan perbuatan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nur Aina Nabihah di Taman Vista Jaya, Lukut, dekat sini, antara 8.30 hingga 11.30 malam, 31 Jan lepas.
Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas ditemui tidak sedarkan diri oleh bapanya di kediaman keluarganya di Lukut dekat sini, malam 31 Jan lepas.
Pemeriksaan lanjut ke atas badan kanak-kanak itu mendapati terdapat kesan lebam dan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti putus pankreas, cedera buah pinggang, hati dan usus terkoyak serta tulang rusuk kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
Mohammad Abdullah dan isteri sebelum ini direman sejak 2 Feb lepas, namun isterinya yang juga ibu tiri mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan. – BERNAMA

