RIYADH – Putera Mahkota, Salman Abdulaziz Al Saud dinamakan sebagai Raja Arab Saudi berikutan kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz.
Raja Salman, 79, yang juga adik kepada Raja Abdullah sebelum ini telah memangku tugas sebagai Raja sejak setahun lalu berikutan kesihatan abangnya yang mula menyusut.
Menyusuri biodatanya, beliau yang dilahirkan pada 31 Disember 1935 adalah antara pemimpin tertinggi Arab Saudi dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan sejak tahun 2011.
Dipilih sebagai Gabenor Riyadh pada tahun 1963, Raja Salman terkenal dengan kepakarannya dalam urusan diplomasi dan mempunyai hubungan yang baik serta berpengaruh dalam kalangan suku kaumnya di negara itu.
Dalam tempoh lima dekad, beliau telah melakukan transformasi ke atas Riyadh yang sebelum ini hanyalah sebuah padang pasir terpencil sehinggalah dibangunkan menjadi bandar moden dengan bangunan pencakar langit, universiti dan rangkaian perniagaan antarabangsa.
Pembangunan tersebut turut merangkumi pembinaan kediaman serta pengangkutan awam untuk rakyatnya.
Raja Salman juga merupakan seorang yang lantang dalam menentang pergerakan puak militan di seluruh dunia selain pernah menyatakan kestabilan di negara Timur Tengah hanya akan dicapai dengan penyelesaian konflik Israel-Palestin.
Susulan perlantikan beliau sebagai Raja Arab Saudi, adiknya, Putera Muqrin telah dinamakan sebagai Putera Mahkota. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=oWMkVW_ocak

