PELAKON Datin Maria Farida menggesa bekas isteri suaminya iaitu Hadijah Mohamed Mokhtar serta anak, Nur Shazleen Anis Mohd. Yusoff segera tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Memetik sumber, pelakon berusia 48 tahun itu yang telah memenangi kes saman fitnah terhadap kedua-dua beranak tersebut sekaligus beroleh ganti rugi berjumlah RM400,000, mahu mereka tidak lagi menunda tindakan permohonan maaf tersebut.
“Saya nak pihak mereka buat permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin kerana sudah banyak kali tertunda sebab Hadijah asyik mengelak sahaja.
“Sudah lama pihak saya memberi masa tapi tiada tindakan daripada pihak sana,” kata Maria dipetik sebuah portal online.

Dalam pada itu, Maria yang akui lega akan keputusan mahkamah berkenaan memberitahu akhirnya kebenaran sudah terbukti dan berharap kedua-dua beranak tersebut tidak lagi menabur fitnah serta menganggunya.
“Syukur, semuanya sudah berakhir. Memang saya rasa lega sangat. Harap mereka tidak akan kacau hidup saya lagi.
“Selama dua tahun mereka sering ganggu saya melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan datang ke rumah serta tempat kerja.
“Harap kali ini mereka betul-betul belajar daripada kesilapan dan jangan ganggu saya lagi,” kata Maria lagi.

Di samping itu, dia juga menggesa dan berharap agar orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kes tersebut selain menasihati agar jangan sesuka hati memfitnah orang tanpa bukti.
“Kebenaran sudah terbukti. Jangan nak buat fitnah sembarangan. Kepada yang lain, saya harap belajar daripada kejadian ini, janganlah nak buat kesalahan seperti ini. Ingat senang-senang nak fitnah artis.
“Apabila terjadi kepada kami, mestilah kami akan ambil tindakan semula. Kalau perkara tak betul, tak mungkin orang berkenaan nak mengaku pula. Saya harap orang ramai jangan nak pusing kenyataan atau membuat fitnah yang tidak tentu arah.
“Apabila kebenaran sudah terbukti, siapa yang malu. Tolonglah jangan kacau hidup saya dan keluarga lagi,” gesa pelakon berkenaan.
Ujar Maria, dengan berakhirnya kes ini dia berharap tiada lagi kenyataan yang tidak berasas daripada mana-mana pihak tentang dirinya.
Sekiranya hal tersebut berlaku kelak, dia memberitahu bahawa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. – MYNEWSHUB.CC/AM

