KOTA BHARU – Perusahaan Nasi Kak Wook yang terkenal di Kelantan memberi amaran akan ambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak menggunakan jenama itu tanpa kebenaran.
Meskipun sudah membuat pendaftaran cap dagangan dan memiliki hak eksklusif dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) lima tahun lalu, Nasi Kak Wook tetap menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
Mereka dikesan menciplak jenama itu bagi mengaut keuntungan mudah. Perniagaan yang mula bertapak lebih 30 tahun lalu itu memiliki nama kukuh di negeri ini, menyebabkan ramai menciplak dan mengguna pakai jenama itu.
Pewarisnya, Mastura Ibrahim, 46, yang juga anak kepada Allahyarham Wook Hassan, berkata jenama Nasi Kak Wook, sudah diciplak sehingga boleh didapati di seluruh Kelantan, malah menular ke Kuala Lumpur dan Selangor.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa selain hanya ada enam cawangan Nasi Kak Wook di sekitar Kota Bharu, kami tidak langsung tidak membuka sebarang cawangan lain termasuk banyak yang konon dibuka di Kuala Lumpur.
“Namun ramai menganggap ia adalah perusahaan yang sama (dimiliki pewaris) sehingga ada pihak membuat aduan kepada pihak berwajib supaya mengarahkan kami untuk membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Ini kerana kononnya kami memiliki puluhan cawangan seperti yang didakwa. Akibatnya saya dihubungi pihak berkuasa dan terpaksa beberapa kali ke pejabat kerajaan untuk menerangkan dan menunjukkan bukti.

“Kami cuma ada enam saja cawangan dan yang selain itu adalah tiruan dengan menggunakan jenama warisan arwah ibu saya,” katanya kesal ketika membuat sidang media di cawangan kedai itu di Jalan Telipot di sini, hari ini.
Selain Jalan Telipot, cawangan premis Nasi Kak Wook ujar beliau turut terletak di Jalan Sultan Yahya Petra, Bandar Baru Kubang Kerian, Pasir Hor, Bandar Satelit Pasir Tumboh dan Taman Sari sahaja.
Mastura yang juga anak keempat dari lima beradik itu berkata, lebih kusut keadaan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan bertindak menjalankan aktiviti berhutang selain menyamar sebagai pemilik Nasi Kak Wook.
Ia sekali gus mencalarkan imej perusahaan warisan keluarga tersebut. Sementara itu, peguam Zahari Affendi Abdul Kadir yang mewakili perusahaan Nasi Kak Wook, berkata pihaknya sudah menjalankan tindakan undang-undang.
Ini dengan mengeluarkan notis amaran bagi menghentikan penggunaan jenama itu kepada 10 premis di Kuala Lumpur dan hanya satu saja yang akur, manakala selebihnya masih lagi meneruskan perniagaan seperti biasa.
“Kami sudah buat perbincangan dan pewaris menetapkan tempoh tiga bulan dari sekarang kepada peniaga yang menggunakan jenama terbabit atau seakan-akannya supaya menukar jenama bagi mengelakkan tindakan,” katanya.
Jenama diasaskan sejak 1984 ini begitu sinonim dengan imej nasi putih panas berlaukkan ayam goreng kunyit yang dipotong ala bersaiz dadu, lengkap dengan gulai pekat dan sambal belacan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA