HENAN – Malang menimpa seorang budak berusia 11 tahun, Yang Chin, yang mati dalam keadaan menyedihkan selepas lehernya dibedah oleh seorang doktor palsu yang mendakwa sebagai pakar tekak.
Yang dibawa oleh ibunya Xiu Tsao, 35, ke klinik itu yang dikendalikan oleh Zhang Wenli, 46, selepas dia mengadu sakit tekak.
Tanpa disedari oleh Xiu, Zhang merupakan seorang penipu malah jururawat yang bertugas di klinik itu juga tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang perubatan.
Menurut Xiu, anaknya itu mengadu sakit tekak dan selepas mendengar cerita bahawa klinik itu dapat memulihkan anaknya dengan cepat berbanding hospital, maka dia menghantar Yang menjalani rawatan di situ.
Dia berkata, doktor palsu itu kemudian memberitahunya bahawa tekak anaknya itu membengkak dan dia perlu mengeluarkan darah kotor bagi memulihkan budak tersebut.
“Penipu itu menggunakan pisau bedah dan saya dapati darah keluar dari mulut anak saya. Namun dia memberitahu bahawa ia perkara biasa dan dia akan menghentikan darah itu sebaik prosedur tersebut berakhir.
“Bagaimanapun saya lihat anak saya seolah-olah berada dalam kesukaran dan saya dapat melihat dia menendang kakinya ketika doktor palsu itu membelah tekaknya,’’ katanya.
Selepas tiga minit, Yang berkata, kaki anaknya berhenti bergerak namun lelaki itu tetap mempertahankan bahawa ia perkara normal tetapi selepas itu lelaki terbabit menghubungi ambulans.
Hanya selepas pasukan paramedik tiba, barulah Yang mengetahui bahawa anaknya telah meninggal dunia manakala lelaki itu bersama dengan jururawat palsu tersebut sudah melarikan diri.
Polis kemudiannya mengesahkan bahawa klinik yang sudah beroperasi sejak bertahun-tahun itu rupanya klinik palsu.
https://www.youtube.com/watch?v=GTDndVRk9Pg

