JAMINAN… Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia memberi pampasan kepada mangsa kejadian pokok tumbang di Jalan Ampang dekat Menara Berkembar Petronas pagi semalam.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd Aziz yang memberi jaminan bahawa mangsa terlibat boleh membuat tuntutan kepada DBKL mengikut prosedur sewajarnya.
Menurutnya, tuntutan melibatkan kes-kes seumpama itu merupakan perkara yang sedia termaktub demi kebajikan mangsa iaitu sepasang suami isteri dikenali sebagai Mira Ezva Abd Rasid, 25, dan Norazrul Ahmad, 37, dari Cheras.
“Kes seperti ini adalah perkara yang diluar jangkaan, kita tidak tahu bila ianya akan berlaku. Jadi mangsa boleh buat tuntutan dengan ikut prosedur seperti laporan polis dan juga di Jabatan Lanskap DBKL.
“Setiap pokok ditanam di seluruh Kuala Lumpur memang ada dilindungi dengan insurans. Jadi jika mangsa mahu mengambil tindakan, pihak DBKL sedia terima,” kata Mhd. Amin kepada sebuah akhbar tempatan.
Mengulas lanjut susulan kes itu, Mhd Amin berkata, perlantikan ‘Arborist’ atau pakar pokok untuk mengawal selia kesihatan tumbuhan berkayu besar tersebut di ibu negara bakal beri tumpuan kepada pokok yang sudah berusia.
Baca: 2 Cedera Pokok Tumbang Dekat Menara Petronas

Namun ujarnya, pihaknya berharap segala tindakan DBKL pada masa akan datang tidak pula menimbulkan isu pertikaian oleh warga kota yang menyifatkan langkah itu konon sebagai tidak mesra kepada alam sekitar.
“Bergantung kepada tahap kesihatan pokok terbabit sendiri. Jika perlu, kita sedia akan tebang mana-mana pokok bersaiz besar ini. Jangan ada pula pihak yang kecoh marah apabila DBKL hendak tebang pokok tertentu.
“Ini kerana sebelum ini memang ada juga yang marah semasa DBKL mahu tebang pokok. Jadi ‘Arborist’ akan membantu pihak DBKL untuk kenal pasti pokok dan kawasan yang berisiko tinggi,” kata Mhd. Amin lagi.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi semalam, sepasang suami isteri yang baru sahaja bernikah kelmarin cedera setelah motosikal yang dinaiki mereka tidak sempat mengelak sebatang pokok besar yang tiba-tiba tumbang.
Pokok jenis hutan-hijau itu dilaporkan telah berusia lebih 130 tahun dan pemeriksaan mendapati ia mengalami pereputan pada bahagian akarnya yang tidak dapat dilihat secara fizikal dan keadaan ini adalah di luar jangkaan.
Pereputan akar pokok tersebut memberi kesan kepada pertumbuhan akar tumbuhan itu yang menyebabkan pokok menjadi lebih tidak stabil dan mudah untuk tumbang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

