SEREMBAN – Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) menyerbu sebuah tapak pembinaan kilang di sini kerana didapati mencuri bekalan air untuk projek berkenaan.
Sains dalam satu kenyataan media memberitahu, serbuan pada 13 Januari lalu itu mendapati pihak kontraktor membuat penyambungan paip secara tidak sah.
“Penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 20mm.
“Air yang diperolehi daripada penyambungan tidak sah itu didapati digunakan untuk pembinaan kilang tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.
Akta itu memperuntukan denda RM100,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.
Sains dalam pada itu memberi jaminan akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan.

