PORT DICKSON – Lebih 10,000 tangkapan atas pelbagai jenayah rentas sempadan di perairan negara direkodkan hasil operasi yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bermula Januari 2006 sehingga semalam.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata ia membabitkan 255,524 jumlah penggeledahan berkaitan pelbagai kes termasuk penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan pendatang asing tanpa izin.
“Seramai 4,543 pesalah telah dikenakan kompaun, 1,928 kes dibawa ke mahkamah dan 2,435 kes diserahkan kepada agensi-agensi yang berkaitan.
Daripada jumlah itu, seramai 1,033 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan APMM telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM307 juta melalui lelongan ikan, kompaun, pelupusan serta denda nelayan asing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (CTC) Port Dickson dan Program Sahabat Maritim/Redback 2018 di sini hari ini.
Zulkifli berkata Operasi Redback siri ke-10 itu dilaksanakan selama tujuh hari bermula hari ini bersama Australian Border Force (ABF) di perairan Selat Melaka.
“Operasi kali ini memfokuskan penguatkuasaan ke arah membendung kegiatan jenayah rentas sempadan melibatkan pergerakan pengganas antarabangsa seperti Daesh, penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, migran dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata semua anggota yang terlibat akan diberikan penerangan berkenaan elemen kesedaran terhadap situasi ancaman keganasan di negara ini sebagai persediaan awal anggota di lapangan bagi setiap operasi yang dijalankan bagi fasa taklimat.
Katanya fasa operasi pula akan melibatkan aset dan kawasan operasi di perairan Selat Melaka.
Pada majlis itu, seramai 40 nelayan dari perairan Negeri Sembilan dan Melaka menerima sumbangan jaket keselamatan.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski, Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri Datuk Tun Hairudin Abu Bakar. – BERNAMA

