KUALA LUMPUR — Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah lebih 26 kilogram (kg) di parkir kereta sebuah kondominium di Ampang, dua minggu lalu.
R.Nagaraju, 38, dituduh mengedar dadah disyaki jenis methamphetamine anggaran seberat 26.520 kg di parkir Tingkat 3, Axis Residences @ Axis, Taman Cempaka, Ampang pada 4.30 pagi, 14 Feb lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu melibatkan hukuman mati dan terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

