CINTA berlainan agama bukanlaah jadi penghalang buat pelakon Fadlan Hazim untuk meneruskan perancangan bagi menamatkan zaman bujang bersama dengan pilihan hatinya, Julie Anne.

Menurut Fadlan, 26, dia dan kekasihnya bakal menghadiri beberapa kelas agama bagi mempelajari lebih dalam tentang agama Islam.
“Sebelum bersama saya lagi, Julie ada cakap dia sudah mula terbuka hati untuk mengenali Islam dan bersedia mempelajari lebih lanjut mengenai agama ini,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Tambahnya juga, Julie yang merupakan ahli perniagaan itu sudah lama terbuka hati untuk mempelajari agama Islam serta turut akan memeluk agama ini suatu hari nanti.

“Saya ada perancangan nak bawa dia berjumpa ustaz dan kita sama-sama belajar mengenai agama Islam kerana saya pun masih belum sempurna dan perlu belajar lagi.
“Soal memeluk agama Islam agak sensitif untuk diperbahaskan, cumanya saya harap masyarakat mendoakan yang baik-baik,” tambahnya lagi.

Fadlan dan Julie telah mula berkenalan sejak tahun 2005 iaitu ketika mereka masih di bangku sekolah lagi.
Namun ketika itu mereka hanya sekadar kawan baik sahaja dan kini pertemuan semula itu telah membuatkan mereka merancang untuk membawa hubungan itu ke peringkat yang lebih serius lagi.
“Julie seorang wanita yang sangat memahami dan mudah diajak berbincang. Mungkin faktor usia sebaya membuatkan saya selesa bersama dia,” ujarnya.

Perkenalan yang sudah terjalin hampir 13 tahun itu juga telah mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.
Disebabkan itu, mereka turut mempunyai perancangan untuk mendirikan masjid tetapi kedua-dua pasangan itu masih meletakkan soal jodoh itu sebagai ketentuan yang ditakdirkan oleh Yang Maha Pencipta.

“Keluarga kami tak ada masalah dan mereka merestui hubungan kami. Lagi pula, kami membesar dalam kelompok keluarga yang pernah berkahwin campur.
“Buat masa ini kami tak letak sasaran waktu bila nak berkahwin, namun saya andaikan dalam setahun dua lagi kita akan menuju ke arah itu.
“Sekarang ini, kami mahu fokus dengan karier dan apabila semuanya sudah okay barulah kami mahu bina keluarga bahagia,” kata pelakon drama Cinta Hati Batu itu lagi.

Apa pun, semoga segala perancangan untuk melangkah ke peringkat seterusnya akan dipermudahkan dan mudah-mudahan ianya berjalan dengan lancar.
Baru-baru ini, pelakon drama Papa Ricky itu baru sahaja menjalani pembedahan kerana menghidapi penyakit tonsil kronik akibat kuat merokok sejak 10 tahun yang lalu. – MYNEWSHUB.CC/AH

