KUALA LUMPUR – Kehadiran dua usahawan terdiri anggota Wanita Dinamis Felcra (Wadira) yang dinamik dan kreatif dalam dunia perniagaan hasil daripada bimbingan dan bantuan Felcra Berhad menarik perhatian pengunjung di Konvensyen Perdana Wadira 2018.
Seorang daripadanya, pengusaha kraftangan manik, Selamah Md Yunus, 58, yang juga pengerusi Wadira, Felcra Sungai Layau, Kota Tinggi, Johor mempamerkan dan menjual pelbagai jenis kraftangan manik yang dijadikan bunga pahar, gubahan bunga pasu, gubahan bunga berbingkai, tasbih dan lain-lain.
“Dengan bantuan Felcra yang menyediakan pelbagai bantuan termasuk modal dan ilmu pengetahuan, Wadira Felcra Sungai Layau dapat mengeluarkan produk kraftangan manik yang pelbagai jenis.
“Ini kerana pada awalnya kami hanya membuat bunga pahar sahaja, selepas diberi pendedahan dari pihak Felcra dengan menyertai program luar seperti membuka gerai di program-program besar, idea kami semakin berkembang,” katanya ketika ditemui Bernama.
Selamah berkata kraf manik yang dihasilkan Wadira di tempat kami mempunyai nilai eksklusif yang tinggi kerana produk yang dihasilkan adalah buatan tangan dan memerlukan ketelitian yang tinggi.
“Sebagai contoh bunga-bunga pasu dan aksesori sering menarik minat kaum wanita manakala gubahan bunga berbingkai lebih kepada kumpulan korporat yang sering dijadikan cenderahati,” katanya.
Tambahnya, sebagai seorang suri rumah beliau berbangga kerana berjaya menyahut seruan Felcra yang mahu melihat anggota Wadira juga mampu menjadi usahawan yang berjaya.
“Alhamdulilah, setakat ini saya bersyukur dapat meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.
Sementara itu, pengusaha roti dan pastri, Rozaida Yusoff, 46, dari Wadira, Felcra Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor, pula berkata bantuan Felcra yang menyumbangkan peralatan membuat roti membolehkan Wadira di tempatnya menempa nama sebagai usahawan berjaya di kawasan itu.
“Sehingga hari ini, sebanyak 12 jenis roti berjaya kami hasilkan bagi memenuhi permintaan dari seluruh negara.
“Jualan roti dan pastri kami ini mengikut musim, kadang-kadang permintaannya tinggi dan kadang-kadang permintaan sederhana, namun, ia tidak pernah putus,” katanya.
Menurutnya, penyertaan beliau di Konvensyen Perdana Wadira 2018 ini membuahkan hasil apabila pihak Felcra menempah1,500 buku roti sebagai cenderahati buat tetamu di konvensyen tersebut.
“Oleh kerana itu, pengunjung tidak putus-putus datang ke gerai kami untuk mendapatkan roti dan pastri sehingga licin,” katanya. – BERNAMA

