KOTA BHARU – Pemain muda Kelantan Nik Akif Syahiran Nik Mat bersedia mengisi kekosongan posisi tengah ditinggalkan pemain import dari Perancis Margaro Lima Gomis yang digugurkan daripada pasukan tersebut.
Nik Akif Syahiran, 19, bertekad untuk tidak menghampakan kepercayaan pemangku Ketua jurulatih Yusri Che Lah dengan mempamerkan aksi sebaik mungkin bagi membantu pasukan mencatat kemenangan.
“Saya berharap jurulatih dapat memberi lebih peluang kepada saya untuk beraksi sebagai pemain kesebelasan utama bagi membantu pasukan menghadapi cabaran pasukan lain.
“Perlawanan menentang Terengganu pada awal bulan ini, saya diturunkan dalam kesebelasan utama, walaupun perasaan ketika itu amat gugup. Jika beraksi lebih banyak saya mampu untuk mengatasi masalah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 13 Feb lepas, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terpaksa menggugurkan Gomis selepas pemain import berkenaan mengalami kecederaan paha dan mengambil masa panjang untuk pulih.
Nik Akif Syahiran bertekad akan mempamerkan aksi terbaik untuk dipilih bermain di posisi tersebut memandangkan terdapat beberapa rakan pasukannya juga mempunyai kebolehan beraksi di posisi berkenaan.
“Rakan sepasukan Mohd Fadhillah Mohd Fuzi, S Veenod dan Ahmad Sukri Ab Hamid juga mempunyai kemampuan untuk bermain di posisi itu dan sudah tentu mereka juga akan bekerja keras,” katanya.
Beliau turut mengakui berdepan tekanan apabila penyokong meletakkan harapan tinggi kepada beliau untuk beraksi di posisi tengah selepas mempamerkan aksi bermutu ketika bertemu Terengganu, sebelum ini.
“Sebagai pemain, tekanan perkara biasa, namun sokongan dan tunjuk ajar daripada rakan sepasukan penting bagi meredakan tekanan itu,” katanya yang merupakan pemain pasukan Piala Presiden Kelantan musim lalu. – BERNAMA