SEREMBAN – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari sempena Hari Keputeraan baginda ke-70 dan sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.
Turut berangkat ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta kedua-dua putera baginda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-‘Abidin.
Keberangkatan tiba baginda disambut Penasihat Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, Tan Sri Lim Huah Leong dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon.
Pada majlis yang dihadiri 1,000 tetamu itu, baginda turut berkenan memotong kek dan menggaul ‘Yee Sang’ serta menyaksikan tarian tradisional masyarakat Cina yang dipersembahkan oleh Persatuan Keturunan Guang Dong.
Tuanku Muhriz, dalam titahnya, menyeru semua pihak agar saling menghormati amalan agama serta budaya yang dianuti oleh setiap kaum di negara ini.
“Penghormatan bukanlah sesuatu yang diminta tetapi diperolehi… jika kita tidak menghormati orang, maka orang juga tidak akan menghormati kita,” titah baginda sambil menzahirkan rasa sukacita dapat berangkat ke majlis itu.
“Beta gembira dengan majlis yang menemukan Beta dengan masyarakat pelbagai kaum dan pada majlis ini, Beta dapat bersama dengan kaum Cina,” titah baginda.
Baginda kemudian turut berkenan menyampaikan sumbangan angpau kepada 200 kanak-kanak dan warga emas yang kurang bernasib baik.
Terdahulu, Lim, dalam ucapannya, menyifatkan Tuanku Muhriz sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin dan kerap turun padang untuk bersama masyarakat.
Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran baginda pada majlis santapan itu serta sambutan Tahun Baharu Cina yang julung kali diadakan bersama masyarakat Tionghua di negeri itu. – BERNAMA