KUALA LUMPUR – Setelah tiga tahun mencuba akhirnya atlet pelapis negara, Nurul Alyani Jamil menebus kekecewaan dengan menjuarai Kejohanan Boling Padang Juara-Juara Kebangsaan 2018.
Turun sebagai pemain bukan pilihan, Nurul Alyani mengekalkan rentak kemenangan apabila mengalahkan atlet elit negara, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman, dengan straight set 9-7, 7-4 pada final perseorangan wanita.
Nurul Alyani, 25, turut menyingkirkan seorang lagi atlet kebangsaan iaitu Azlina Arshad pada peringkat separuh akhir dengan straight set 9-1, 5-3 di Kompleks Lawn Bowls Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.
Kemenangan itu juga akan menyaksikan penampilan pertama beliau di Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia di Australia pada November ini nanti.
“Saya telah cuba tiga tahun tetapi nasib tidak menyebelahi kerana terkandas di pusingan separuh akhir. Memang sasaran saya adalah menang di kejohanan ini. Selepas ini cabaran lebih kuat, saya akan buat yang terbaik di Australia.
“Sebagai persiapan, saya akan belajar daripada senior-senior yang pernah menyertai kejohanan dunia sebelum ini dan berlatih bersungguh-sungguh sebelum ke sana,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Bagi acara perseorangan lelaki pula dimenangani oleh atlet kebangsaan, Zulhilmie Redzuan yang menewaskan rakan sepasukannya Mohamad Soufi Rosli dengan pertarungan sengit 5-7, 11-5, 3-2.
“Saya tewas pada set pertama kemudian menukar strategi permainan dan berjaya memenangi set kedua. Pada set penentuan saya ketinggalan dua mata, jadi saya perlu kejar lagi dua mata atau lebih untuk memenangi perlawanan. Alhamdullilah saya dapat tiga mata,” kata Zulhilmie.
Zulhilmie turut mewakili negara di Kejohanan Juara-Juara Perseorangan Dunia nanti. – BERNAMA