TIRAI Anugerah Juara Lagu ke -32 ditutup rasminya pada malam Ahad lalu, namun isu fesyen para finalis masih lagi menjadi bualan ramai terutamanya busana penyanyi, Wany Hasrita.
Gurauan netizen yang menyamakan persalinan itu dengan ‘botol air’ semakin menjadi-jadi malah tidak kurang juga yang mengaitkan Wany dengan fesyen ‘budak kampung’.

Kesal dan terkilan berhubung perkara itu, PRO syarikat rakaman FMC iaitu Sam Samin yang mana juga merupakan di mana syarikat Wany bernaung telah tampil memberi kenyataan balas.
“Bila baca komen-komen di media sosial tentang pakaian finalis #ajl32, baru saya tersedar rupanya kat negara kita ini ramai betul manusia yang ambil bidang fesyen masa belajar dulu.
“Tak sangka ramai sungguh bijak pandai yang aktif melontarkan pendapat dan membandingkan pakaian si polan itu dan si polan ini dengan pelbagai objek dan benda.
“Sebenarnya tak salah untuk beri pandangan tetapi sebelum menyuarakan sesuatu sepatutnya kita fahami dulu tema #ajl32 iaitu fesyen dan muzik.
“Bukan mudah untuk mengilhamkan sesuatu design yang bertepatan, tambahan pula bila beberapa perkara perlu diberi perhatian terutama agar tidak terlalu menampakkan susuk tubuh,” tulis Sam menerusi salah satu entri di Instagram miliknya.

Menurut Sam lagi sebagai salah seorang daripada yang bekerja di belakang tabir dan faham apa terjadi, dia ‘terpanggil’ untuk bersuara berhubung perkara ini berikutan kesian akan penyanyi dan pereka fesyen berkenaan.
“Bagi saya pakaian Wany Hasrita kelmarin tiada cacat celanya. Tambahan pula bagi wanita yang menampilkan imej gadis muslimah dan menjaga batas berpakaian.
“Pereka yang membuat pakaian Wany untuk malam #ajl32 juga telah bersusah payah untuk mengilhamkan sesuatu pakaian yang sesuai dengan imej wanita bertudung agar tidak menampakkan susuk tubuh dan dalam masa yang sama berbeza dari yang biasa.
“Nanti, kalau artis pakai jubah polos, dikata artis tidak pandai berfesyen pula,” tambahnya lagi seperti dipetik Sinar Online.
Di samping itu, Sam menegaskan bahawa dia begitu terkilan dengan tindakan sesetengah netizen yang gemar mengecam artis sesuka hati.
“Sebenarnya saya pun malas nak layan komen netizen yang kebanyakannya merepek dan tidak rahu apa yang mereka katakan.
“Namun dalam hal ini saya kesal kerana mereka mengecam artis yang cuba untuk menjaga aurat dengan sebaiknya. Tindakan mereka ini mungkin akan membuatkan sesetengah artis bertudung takut untuk berfesyen selepas ini.
“Sepatutnya mereka memberikan sokongan dan komen yang positif untuk memberikan galakan, bukan dengan cara mengecam begini,” katanya.

Ujar Sam lagi, persalinan yang mendapat sentuhan kreatif pereka muda, Mirol Jonititu sememangnya memenuhi kriteria yang dimahukan Wany.
“Wany dari awal lagi sudah memberitahu untuk mengenakan fesyen yang mampu menjaga auratnya. Jadi kami sama-sama duduk berbincang dan memilih fesyen yang sesuai dengan imejnya, tetapi dalam masa yang turut memberi kelainan,” ujar Sam.
Sehubungan itu, Sam berpesan kepada netizen yang tidak tahu menahu mengenai sesuatu perkara itu agar tidak perlu ‘tunjuk pandai’ kerana ia hanya akan menunjukkan kelemahan sendiri sahaja. – MYNEWSHUB.CC/AM

