JITRA – Dua lelaki warga asing sanggup terjun ke dalam sungai di belakang rumah mereka bagi mengelak dicekup dalam “Ops Mega” yang dilancarkan Jabatan Imigresen Kedah di enam lokasi berasingan sekitar Tunjang dan Kodiang di sini, awal pagi tadi.
Pengarahnya, Zuhair Jamaludin berkata, ketika serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu, kedua-duanya berumur 35 da 38 tahun masing-masing dari Bangladesh dan Myanmar itu sedang tidur dan bertindak terjun ke sungai terbabit di Kampung Bendahara, Kodiang bagi akibat terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa.
“Mereka kita berjaya tahan semula selepas cuba untuk melarikan diri dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya tiada dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, dalam operasi yang bermula pukul 5 petang semalam dan berakhir kira-kira 3 pagi tadi, 162 pendatang asing dari pelbagai negara berusia dari dua hingga 40 tahun turut diperiksa, yang mana 26 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.
Dalam operasi pertama di sebuah kedai tomyam di Kampung Lama, anggotanya menahan seorang lelaki dipercayai majikan mengikut Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana melindungi warga asing dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kepada empat wanita Thailand yang juga pekerja kerana melanggar syarat pas lawatan.
Manakala dalam operasi kedua di kedai tomyam Taman Sera, pihaknya juga menahan seorang lelaki dan tiga wanita warga Thailand kerana atas kesalahan melindungi warga asing, tiada dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6 (1)(c) serta melanggar syarat pas lawatan.
Operasi ketiga katanya, membabitkan kedai tomyam di Kampung Masjid Lama dengan menahan seorang lelaki dan empat wanita warga Thailand kerana melindungi warga asing dan melanggar syarat pas lawatan.
“Kita juga membuat serbuan terhadap dua buah rumah termasuk sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kubang Chenok, Padang Sera dan menahan 10 lelaki warga Myanmar kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c),” katanya.
Berikutan itu, kesemua yang ditahan itu dibawa ke lokap Imigresen di Alor Setar untuk siasatan dan akan diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik,” katanya. – BERNAMA

